PENGENALAN



PENGENALAN

Sekolah Agama Rakyat KAFA Integrasi Taman Pelangi Semenyih adalah sekolah yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan telah memulakan operasinya pada 10 Januari 2012. Sekolah ini menggunakan sukatan matapelajaran agama yang ditetapkan oleh pihak JAIS dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengambilan pelajar bermula dari Darjah 1 yang berumur 7 Tahun hingga ke Darjah 6 yang berumur 12 Tahun. Pelajar-pelajar Darjah 5 akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) yang ditetapkan oleh pihak JAKIM manakala pelajar Darjah 6 akan menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang ditetapkan oleh pihak JAIS.
Kedua-dua peperiksaan ini akan menjadi pra-syarat pengambilan pelajar ke Sekolah Agama Menengah (SAM) mahupun Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

MATA PELAJARAN
  • Tahap 1
    Merangkumi pelajar-pelajar Darjah 1 hingga Darjah 3 yang mana matapelajarannya ialah subjek-subjek Feqah, Akhlak, Tauhid, Hafazan, Tilawah Al Quran, Asas Jawi dan Bahasa Arab.
  • Tahap 2
    Merangkumi pelajar-pelajar Darjah 4 hingga Darjah 6 mempunyai tambahan 4 lagi subjek iaitu Tajwid, Khat, Sirah dan Imlak.


SYARAT KEMASUKAN PELAJAR
  • Warganegara Malaysia yang beragama Islam

PERUTUSAN KETUA GURU


Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barokatuh.

Sesungguhnya kewujudan Sekolah-sekolah Agama ataupun Kafa Integrasi  ini merupakan suatu rahmat untuk umat Islam di Malaysia khususnya. 

Ketika mana umat Islam hari ini terpesong dengan pelbagai fahaman dan dakyah yang jauh daripada kebenaran, Allah SWT masih memelihara negara ini dengan mengangkat pihak-pihak berkuasa agama yang masih berpegang dengan Kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya. Alhamdulillah kita umat Islam di Malaysia masih ada tempat rujukan yang benar untuk mengetahui dan memahami Agama Islam ini menerusi pihak Majlis Agama ataupun Jabatan-jabatan Agama Islam yang berautoriti dan berkelayakan.

Sehubungan itu, pihak Majlis Agama dan Jabatan Agama telah membuka ruang dan kelulusan untuk Kafa Integrasi Taman Pelangi Semenyih ini beroperasi dengan matlamat utamanya adalah untuk menyampaikan pengetahuan dan kefahaman agama yang benar khususnya kepada anak-anak orang Islam di Malaysia. 

Semoga anak-anak kita membesar dengan Aqidah yang benar terhadap perkara-perkara usul Agama ini. Semoga mereka memahami Tauhid yang suci hanya untuk Allah SWT. Semoga mereka dapat beramal dan beribadah sesuai dengan sunnah Rasulullah. Semoga mereka berakhlak dengan peribadi yang luhur dan mulia seperti mana akhlakna Muhammad Rasulullah. Amiin. InsyaAllah.


Saya yang berkhidmat:

Suriati Binti Junidi