PERATURAN SEKOLAH




1. KEHADIRAN DAN PERGERAKAN MURID

1.1-       Murid digalakkan datang awal ke sekolah, dan berada di kawasan sekolah 10 minit sebelum sesi persekolahan bermula. Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) akan bermula pada jam 7.40 am bagi sesi pagi dan 2.30 pm bagi sesi petang.

1.2-    Murid yang hadir ke sekolah dengan menaiki basikal perlu menyusunnya di tempat yang ditetapkan dengan teratur. Kasut @ Selipar juga perlu disusun di tempatnya sebelum masuk ke dalam kelas (surau).

1.3-     Loceng akan dibunyikan tepat jam 7.30am dan 2.30pm menandakan akan bermulanya waktu kelas yang pertama. Kemudian loceng akan dibunyikan lagi pada waktu mula rehat dan akhir rehat.
                                    Sesi Pagi          :           9.10 am – 9.30 am
                                    Sesi Petang      :           4.10 pm – 4.30 pm

1.4-    Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) akan berakhir pada jam 10.30am untuk murid sesi pagi, manakala bagi murid sesi petang kelas berakhir pada jam 5.30pm (kecuali pelajar yang terlibat dengan kelas tambahan). Loceng akan dibunyikan sebagai tanda berakhirnya sesi P&P pada setiap hari.

1.5-   Murid wajib hadir ke sekolah setiap hari. Jika terdapat keuzuran atau sebarang aktiviti di Sekolah Kebangsaan, salinan sijil cuti sakit (mc) atau surat makluman hendaklah diberikan kepada pihak sekolah.

1.6-     Murid sesi pagi akan melakukan praktikal Sholah Sunat/Fardhu pada jam 10.30am hingga jam 10.45am. Semua murid sesi pagi terlibat kecuali mereka yang dijadualkan untuk bertugas dalam kelas. Murid yang bertugas akan dipantau oleh guru.

1.7-     Kelas Sesi Petang akan berakhir pada jam 5.30 pm. Semua murid sesi petang akan sholat asar secara berjamaah sebelum pulang pada jam 5.45 pm, kecuali mereka yang dijadualkan bertugas dalam kelas.

1.8-    Murid yang ingin keluar atau pulang awal perlulah mendapatkan keizinan guru kelas. Sekiranya ada terlibat dengan aktiviti di sekolah kebangsaan maka perlulah ditunjukkan surat makluman. Murid dilarang keluar dari kawasan sekolah ketika waktu persekelohan tanpa sebarang keizinan.

1.9-      Murid yang terlibat dengan aktiviti di sekolah kebangsaan, dibenarkan terus memakai pakaian sukan ke sekolah agama. Waktu murid dilepaskan keluar adalah mengikut keperluan dan budi bicara guru kelas. Namun sebelum itu mereka perlu mengisi Buku Rekod Keluar Masuk Pelajar dan mendapat pengesahan guru kelas.

1.10-    Murid yang dilepaskan keluar hendaklah terus bergerak ke tempat tujuannya dan dilarang bermain dan membuat bising dalam kawasan sekolah (kelas).

1.11-    Hari Jumaat atau Isnin akan diadakan perhimpunan pelajar. Semua murid perlu terlibat dalam perhimpunan ini. Semua murid perlu beratur dengan lurus dan mematuhi arahan guru dan pengawas yang bertugas menyelaras perhimpunan.

1.12-  Pejabat Pentadbiran Sekolah, Bilik Guru, dan ruang sholat dalam surau adalah kawasan larangan bagi murid ketika waktu pembelajaran dan rehat. Dilarang murid masuk ke dalamnya tanpa keizinan guru.


2. WAKTU REHAT

2.1-     Waktu rehat murid adalah seperti berikut:
                                                                                    Sesi Pagi          : 9.10 am – 9.30 am
                                                                                    Sesi Petang      : 4.00 pm – 4.20 pm

2.2-    Ketika rehat murid dilarang makan dan minum dalam kelas. Murid juga dilarang masuk ke dalam surau tanpa kebenaran guru.

2.3-    Murid juga dilarang makan dan minum sambil berjalan. Semua urusan makan dan minum adalah di kantin sekolah. Murid akan disediakan tempat meletak bekas minuman di belakang kelas dan perlu mendapat keizinan guru jika hendak minum ketika waktu pembelajaran.

2.4-    Murid perlu menjaga kebersihan kawasan sekolah dengan tidak membuang plastik sampah mahupun sisa makan berteraburan. Segala sampah sarap perlu dibuang dalam bakul sampah yang disediakan.

2.5-      Ketika waktu rehat juga murid dilarang bermain basikal dan pergi ke kawasan-kawasan yang dilarang (dalam kawasan sekolah) oleh guru.


3. PAKAIAN MURID


3.1-    Murid lelaki memakai pakaian baju melayu putih, bersamping hijau dan bersongkok hitam manakala murid perempuan memakai pakaian baju kurung putih berkain hijau dan bertudung putih bersama anak tudung. Bagi murid perempuan yang datang menaiki basikal, dinasihati untuk memakai seluar panjang di dalam kain.

3.2-   Dilarang memakai pakaian luar seperti jaket, sarung tangan dan selainnya tanpa sebarang keperluan kecuali murid yang diizinkan kerana sesuatu sebab seperti demam, sakit dan sebagainya.

3.3-    Pakaian bagi pengawas lelaki adalah baju melayu puith, bersamping merah hati dan bersongkok hitam manakala murid perempuan memakai pakaian baju kurung putih berkain merah hati dan bertudung putih bersama anak tudung.

3.4-    Semua murid hendaklah mengenakan Lencana Sekolah dan Tanda Nama pada pakaian seragam mereka.

3.5-    Murid (sesi petang) yang terlibat dengan aktiviti di Sekolah Kebangsaan dibenarkan terus memakai pakaian sukan ke sekolah Kafa. Pakaian sukan hendaklah sopan dan menutup aurat.

3.6-     Semua murid hendaklah berkasut dan berstokin putih kecuali pengawas yang memakai kasut serta stoking hitam. Semua murid hendaklah menyusun kasut atau selipar masing-masing dengan kemas dan teratur di atas rak kasut yang disediakan sebelum masuk (naik) ke dalam kelas.

3.7-    Murid hendaklah sentiasa memastikan kekemasan diri dan kebersihan pakaiannya. Dilarang bagi murid lelaki berambut panjang atau mewarnakannya. Dilarang juga menyimpan kuku panjang atau mewarnakannya.


4. AKADEMIK  DAN PENCAPAIAN


4.1-    Kefahaman dan pencapaian akademik murid diukur melalui ujian dan peperiksaan. Murid wajib menduduki dua kali ujian dan dua kali peperiksaan sepanjang tempoh sesi persekolahan setiap tahun. Murid tahun 5 perlu menduduki peperiksaan UPKK manakala murid tahun 6 menduduki peperiksaan PSRA.

4.2-      Semua murid yang terlibat dengan ujian dan peperiksaan yang ditetapkan oleh pihak sekolah perlu mematuhi segala peraturan dewan peperiksaan yang digariskan.


5. DALAM KELAS DAN SURAU


5.1-   Murid hendaklah sentiasa menumpukan perhatian kepada pengajaran guru dalam kelas. Dilarang membuat bising dan bermain ketika guru berada dalam kelas.

5.2-      Murid perlu membawa sendiri kelengkapan alat tulis setiap hari ke sekolah. Buku Teks, Buku Tulis dan Buku Rujukan boleh dibawa mengikut jadual waktu kelas seperti mana yang telah ditetapkan.

5.3-     Ketika guru berada dalam kelas, murid hendaklah sentiasa berada di tempat masing-masing dalam keadaan tenang dan baik. Sebarang urusan sama ada untuk pergi ke tandas, atau minum air dan sebagainya perlulah mendapat keizinan guru. Ibu Bapa atau penjaga yang ingin berjumpa murid ketika waktu kelas perlulah mendapat keizinan guru kelas terlebih dahulu.

5.4-     Murid perlu memberikan kerjasama dengan guru kelas dalam memastikan kelas sentiasa bersih dan tersusun. Dilarang murid mengotorkan kelas dengan membuang sampah merata-rata. Dilarang mengasah pensel dan membuang sampah sarap bukan pada tempatnya.

5.5-     Murid dilarang merosakkan harta benda sekolah mahupun surau. Dilarang menconteng meja dan dinding. Segala kerosakan harta benda sekolah dan surau yang dirasakan perlu akan dituntut ganti rugi.

5.6-    Murid dilarang bermain dalam surau. Dilarang masuk bukan pada masanya tanpa keizinan guru. Pengawas yang bertugas perlu membersihkan kawasan dalam surau selepas tamat sesi sholat berjamaah.

5.7-      Sila pastikan suis lampu dan kipas dalam kelas serta surau ditutup setelah tidak digunakan lagi.


6. DALAM TANDAS DAN KANTIN


6.1-     Murid hendaklah beratur menunggu giliran untuk membeli makanan di kantin sekolah ketika waktu rehat. Murid dilarang tolak menolak dan berebut-rebut ketika membeli makanan dan minuman.

6.2-    Makan dan Minum ketika waktu rehat hanyalah di kantin sekolah dan sekitarnya. Dilarang makan dan minum dalam kelas dan di sekeliling kawasan surau. Segala sampah sarap perlu dibuang dalam bakul sampah yang disediakan.

6.3-     Hanya seorang murid atau dua orang dari setiap kelas dibenarkan untuk pergi ke tandas ketika waktu pembeljaran dengan izin guru. Murid hendaklah memastikan kebersihan dalam tandas selepas selesai menunaikan hajat.


7. KEBAJIKAN DAN KESELAMATAN

7.1-   Sebarang kecederaan dan kemalangan perlu dilaporkan segera kepada guru yang bertugas. Murid hendaklah sentiasa menjaga dan memelihara diri daripada melakukan perkara yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

7.2-      Murid yang demam atau sakit dan tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam kelas hendaklah melaporkannya kepada guru kelas. Murid tersebut akan disuruh berehat ataupun dihantar pulang mengikut keperluan.

7.3-    Murid dilarang bergaduh sesama sendiri. Tindakan mengejek dan menghina sesama sendiri merupakan pencetus kepada pergaduhan dan ia perlulah dielakkan.

7.4-     Murid yang cedera atau berlaku kemalangan yang serius di sekolah ketika waktu pembelajaran, akan dikejarkan ke klinik mengikut keperluan. Sebarang kos perubatan akan ditanggung oleh pihak sekolah terlebih dahulu dan kemudian ibu bapa penjaga perlu menjelaskannya kembali kepada pihak sekolah.


8. AKTIVITI KO KURIKULUM

8.1-   Semua murid wajib mengikuti segala aktiviti sekolah yang diadakan mengikut arahan keterlibatan mereka.

8.2-      Hanya pelajar yang terpilih untuk mewakili sekolah sahaja yang terlibat dengan pertandingan Kemahiran Amal Islami (KAMIL).

8.3-     Murid yang terpilih untuk mewakili Kafai TPS dalam sebarang aktiviti mahupun pertandingan hendaklah memberikan kerjasama kepada pihak sekolah dengan tidak menarik diri tanpa sebarang sebab yang munasabah.

8.4-     Murid yang terpilih untuk mewakili Kafai TPS dalam sebarang aktiviti mahupun pertandingan hendaklah memberikan kerjasama kepada pihak sekolah dengan  mematuhi waktu berlatih dan sentiasa bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama sekolah.



9. BAHAN DAN KELAKUAN YANG DILARANG


9.1-     Murid dilarang menghisap rokok, dadah, dan seumpamanya serta dilarang membawanya dalam kawasan sekolah.

9.2-    Dilarang membawa alatan permainan seperti bola, permainan video, telefon bimbit, kamera, radio, mp3 dan seumpanya tanpa kebenaran guru atau pihak sekolah.

9.3-     Murid juga dilarang membawa alatan tajam yang boleh mencederakan dirinya ataupun orang lain seperti pisau, gunting besi yang tajam, pembaris besi dan seumpanya. Dilarang juga murid untuk membawa cecair pemadam, alat solek, barang kemas (emas) dan duit yang banyak tanpa keperluan.

9.4-     Para pelajar lelaki dan perempuan dilarang bercinta, bersentuhan dengan sengaja, bemesra dan melampaui batas dalam bergaul sesama mereka. Sebarang unsur kemesraan yang melampaui batasan hendaklah dipelihara dalam kawasan sekolah mahupun di luar sekolah.

9.5-    Dilarang membawa buku atau majalah yang berbentuk hiburan dan humor, ataupun  yang berbaur lucah. Sebarang bentuk perbualan lucah, kotor dan perbuatan ganguan seksual terhadap sesama rakan maka pihak sekolah akan mengenakan tindakan.


10. AKHLAK DAN KEPERIBADIAN


10.1-  Murid hendaklah sentiasa mematuhi peraturan sekolah yang ditetapkan. Murid juga perlu mematuhi segala arahan guru sama ada ia melibatkan peraturan sekolah ataupun ia bersifat individu, selagi mana tidak bertentangan dengan ajaran agama.

10.2-   Mendahului memberi salam kepada guru-guru atau orang yang lebih berusia yang ditemui dalam kawasan sekolah.

10.3-   Murid yang berakhlak adalah murid yang menjaga lisannya dengan bahasa yang baik dan nada yang sopan. Mereka tidak berkelakuan kasar dan agresif sebaliknya memelihara diri daripada menyakiti orang lain.


11. HUKUMAN DAN DENDA

11.1-  Semua pelajar Kafai TPS yang melanggar peraturan sekolah yang ditetapkan ini berhak dikenakan hukuman ataupun denda mengikut budi bicara pihak sekolah ataupun guru.

11.2-    Jenis hukuman adalah berdasarkan budi bicara para guru dan ia adalah bersifat mendidik.

11.3-    Murid yang telah melakukan kesalahan yang besar, maka pihak sekolah akan memanggil ibu bapa penjaga mereka untuk berbincang dan segala hukuman serta tindakan akan direkodkan dalam laporan salah laku pelajar.

11.4-   Harta dan sebarang aset sekolah yang dirosakkan atau dimusnahkan oleh pelajar dengan sebab tindakan mereka yang melanggar peraturan dan arahan atau tindakan di luar batasan,  maka pihak sekolah berhak menuntut ganti rugi.

11.5-  Pelajar yang menghilangkan Buku Teks atau Buku Pinjaman Sekolah atau Buku Rekod Kemajuan Pelajar (KKM) atau Kad Yuran Bulanan perlu membayar ganti rugi (RM) seperti mana yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

12. KEWANGAN

12.1-    Murid yang telah membayar Yuran Sekolah (Yuran A) adalah murid yang telah sah berdaftar di Kafa Integrasi Taman Pelangi Semenyih. Yuran Sekolah perlu dibayar pada setiap tahun.

12.2-    Kadar bayaran Yuran Sekolah ini adalah berdasarkan ketetapan dan kelulusan daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Semua bayaran yuran murid akan dimasukkan dalam akaun sekolah.

12.3-    Murid perlu membayar Yuran Bulanan pada setiap bulan, bermula daripada Januari hinggalah bulan November. Kutipan yuran ini akan diuruskan oleh guru kelas murid masing-masing.

12.4-   Setiap bayaran perlulah dipastikan terimaan resitnya. Sebaiknya resit-resit bayaran disimpan. Murid yang didapati mempunyai bayaran yuran tertunggak akan diberikan surat dan mereka perlu menyelesaikan baki tunggakan tersebut sebelum membayar yuran yang lain.


BERKHIDMAT UNTUK UMMAH KERANA ALLAH